Tuesday, September 7, 2010

isu buang bayi dan langkah menangani

Isu buang bayi nyata tumbuh kembali. Sekiranya dulu ia pernah hangat seketika,namun kini fenomena ini kembali berleluasa. Akhbar- akhbar yang memaparkan fenomena pembuangan bayi ini seolah-olah mengikut musim kejadian ini berlaku. Mengupas mengenai isu pembuangan bayi ini adalah amat membimbangkan dan merasa terharu dengan sikap pesalah yang tidak berperikemanusiaan sehinggakan sanggup membuang bayi di merata tempat seperti di dalam tong sampah, sungai,dan sebagainya yang sanggup membiarkan bayi yang tidak berdosa itu digigit semut merah, dimakan anjing dan sebagainya. Persoalanya dimanakah sifat perikemanusiaan mereka itu???
Melihat juga kepada akhbar baru-baru ini yang memaparkan mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang dimana seorang daripadanya lelaki, ditemui di depan pintu tandas wanita di tingkat satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan mayat bayi kedua masih masih lagi berdarah, terapung di perangkap sampah dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun.
ASTAGFIRULLAHALAZIM....

Melihat kepada gambar diatas saya merasa sungguh terharu dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan mereka yang sanggup membuang bayi mereka sendiri di merata tempat. Namun begitu persoalannya siapakah yang harus dipersalahkan?
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah pun menceritakan dua bentuk pembunuhan, yang disandingkan bersama dosa induk yang menjadi puncanya.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar” [al-Israa' 17: 31]
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan ahli warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)” [Al-Israa' 17: 33]
Kedua-dua ayat di atas menjelaskan betapa besarnya hukuman ke atas perbuatan membunuh. Betapa mulianya nyawa manusia di sisi Allah. Betapa merbahayanya kehidupan manusia apabila pembunuhan mengalami proses normalisasi. Namun dua ayat yang bercakap tentang pembunuhan sama ada kerana tekanan sosial atau akibat konflik besar yang berlaku antara manusia, kedua-duanya mengapit sepotong ayat yang amat berkait rapat dengan pembunuhan.

Firman Allah di dalam surah yang sama, Surah al-Israa’ di ayat yang ke 32:

“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” [al-Israa' 17: 32]
Jika melihat kepada statistik pembuangan bayi ini adalah semakin meningkat dari masa ke masa.
  • Daripada tahun 2005 sehingga Ogos 2010 -sebanyak 472 kes dilaporkan dimana 214 kes melibatkan bayi dijumpai hidup dan 258 kes bayi dijumpai mati.
  • Tahun 2009 pula menyaksikan 79 kes buang bayi dilaporkan dengan 25 kes bayi lelaki dan 29 perempuan manakala 25 janin yang tidak dikenalpasti jantina.
  • Manakala daripada Januari 2010 sehingga Ogos 2010 sahaja terdapat 65 kes pembuangan bayi dan kes tersebut boleh dipecahkan seperti jadual dibawah : -
Statistik Buang Bayi Januari sehingga Ogos 2010


26
bayi lelaki
25
bayi perempuan
24
janin tidak pasti jantina
2
kes dijatuhkan hukuman
6
kes dalam perbicaraan
21
ditahan untuk siasatan














Hukuman yang menanti :
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jika  buang bayi sehingga menyebabkan kematian dan suspek akan dikenakan hukuman gantung mandatori.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh jika bayi yang dibuang masih hidup dan suspek akan dihadapkan ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama 20 tahun.
Bagaimanapun, keputusan untuk menyabitkan sesuatu kes pembuangan bayi kepada bunuh atau kesalahan lain hanya akan ditentukan oleh Peguam Negara.


Langkah mengatasi
Sekarang kita lihat pula langkah-langkah untuk mengelakkan fenomena pembuangan bayi ini. Masalah pembuangan bayi ini sebenarnya adalah amat rumit untuk membincangkan langkahnya. Hal ini kerana kita tidak tahu dimana punca sebenar fenomena ini berlaku. Adakah sebuah institusi keluarga yang runtuh ataupun sikap individu itu sendiri yang harus dipersalahkan. Remaja merupakan pelapis dan penentu jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan. Namun, gejala sosial yang menghantui remaja sekarang seperti membuang anak menjadikan kita dalam dilema. Untuk mengelakkan rasa malu dan hinaan masyarakat, anak yang tidak berdosa ini dibuang merata-rata.Pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani gejala buang bayi di kalangan remaja.
Antaranya ialah kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang bersalah. Ini perlu dilakukan agar remaja akan berasa takut dan serik untuk membuang bayi. Ekoran mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat. Kejadian mengandung tanpa nikah dan membuang bayi pasti dapat dielakkan.
Di samping itu, didikan agama yang sempurna juga perlu diberikan kepada anak-anak seawal yang mungkin demi memandu mereka ke arah kebaikan. Dengan iman kukuh, mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala dan persekitaran. Ini kerana mereka sudah boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Segala perbuatan haram dan berdosa seperti melakukan seks bebas dapat me hindari. Natijahnya, mereka akan mengamalkan cara hidup sihat bersama-sama murni yang menjadi kebanggaan masyarakat Timur.
Remaja yang membuang bayi lazimnya terdesak oleh perasaan malu yang dikhuatiri boleh ‘menconteng arang’ ke muka keluarga. Oleh itu, pihak berkuasa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), misalnya perlu menubuhkan pusat-pusat jagaan untuk ibu-ibu muda yang mengandung. Pusat ini boleh berfungsi sebagai tempat remaja berkenaan mengadu dan mendapatkan bimbingan. Dengan cara ini, nyawa bayi tidak berdosa boleh diselamatkan.
Langkah seterusnya ialah penubuhan bank bayi. Bank ini berfungsi menjaga setiap bayi yang tidak diingini atau tidak mampu dibela oleh ibu mereka. Bayi-bayi ini dijaga oleh pihak berkenaan sehingga besar dan boleh hidup berdikari. Dalam tempoh tertentu pula, pihak bank bayi boleh memberi peluang kepada si ibu mengambil anaK semula sebelum diberikan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Dengan cara ini, nasib dan masa depan mereka lebih terjamin berbanding tragedi yang menimpa seandainya dibuang sewaktu dilahirkan.
Selain itu, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan mentak dan emosinya.
Langkah terakhir yang boleh dilakukan ialah menerusi kempen-kempen program motivasi. Tanggungjawab ini boleh dilakukan oleh pelbagai media yang ada di negara kita. Dengan kata lain, grafik dan pendedahan berbentuk ‘Kisah Benar’ seseorang yang pernah membuang anak akan membangkitkan kesedaran para remaja. Manakala, program motivasi kesedaran seperti ‘Adab Bergaul’ dan ‘Dosa-dosa Besar’, misalnya mampu memperkuat lagi rasa insaf dan takut remaja akan dosa. Justeru, mereka sentiasa beringat dan berwaspada daripada melakukan noda dan dosa.

Penyelesaian masalah ini terletak pada pembanterasan punca tersebut. Namun tugas untuk mencapai matlamat ini adalah sukar, dan kerajaan demi kepentingan awam, tidak boleh mengabaikannya.
Kesimpulannya, setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu, semua pihak harus melihat gejala membuang bayi secara rasional. Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Rukun Tetangga (RT) perlu untuk menangani pergaulan bebas di kalangan remaja. Tindakan awal ini perlu kerana ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’.

1 comment: